Tsunami Bali

  Ngurah   04 December, 2005

Tragedi ombak tsunami yang melanda rantau ini turut menimbulkan beberapa kejadian aneh semasa kunjungan penulis di Bali, Indonesia. Misalnya serangan sekumpulan gergasi misteri yang amat jarang direkodkan, tetapi tiba-tiba muncul dengan ganas sehari sebelum malapetaka itu. Fenomena luar biasa ini menimbulkan banyak persoalan kepada penulis, adakah ianya ada kaitan dengan bencana alam tersebut?

Tanggal 24 Disember 2004, sehari sebelum Krismas, dua hari sebelum tragedi tsunami, saya bersama Ah Fatt, Phang, Kuan, Chia Wen dan Hoe berlepas ke destinasi pelancongan tersohor di Indonesai bernama Pulau Bali.

Ketika itu, ada khabar-khabar angin yang membuatkan pihak berkuasa dan para pelancong harus berjaga-jaga kerana mungkin letupan bom pengganas sekali lagi menggegarkan Bali menjelang Hari Natal. Bagaimanapun kami tidak begitu gusar kerana hajat kami ke sana semata-mata teringin menjinakkan aya budak gergasi (dogtooth tuna) yang dilaporkan merajai perairan Bali.

Kami lebih bimbangkan bot pancing yang mungkin habis ditempah pada musim perayaan tersebut.

Walaupun Bali pernah diselubungi tragedi hitam yang meragut ratusan nyawa, namun kami rasa selamat jika bukan sebagai pelancong yang suka berpeleseran. Untuk memastikan keselamatan diri terjamin, kami hendaklah pulang terus ke hotel sebaik selesai memancing. Syukur tiada sebarang kejadian buruk sepanjang kunjungan ini. Namun demikian, satu bencana alam yang lain lebih dahsyat sedang dalam proses untuk meledak jauh di dasar Lautan Hindi. Pada masa yang sama, kami betul-betul berada pada salah satu sudut Lautan Hindi-Pasifik, sedang memburu aya budak Selat Badung!

Gergasi Tepi Pantai?

Kami menempah bot G.T 2 kepunyaan pak Adhek. Lubuk pertama kami tujui ialah spot di mana pak Ismeth pernah menumbangkan aya budak sebagak 72 kg dengan jig buatan Pak Adhek bernama Seahorse 500 gram. Kalau anda sendiri ke lubuk ini, tentu anda sukar mempercayainya kerana ia terletak hanya setengah jam dari pantai Pulau Bali, malah deretan bangunannya boleh dilihat dengn jelas. Selain rekod gergasi aya budak, perairan Bali juga memiliki satu spot hebat dipanggil Batu Aba kerana seorang pemancing Indonesia pernah menewaskan tenggiri 28 dengan popping!

Jika anda pernah mengkaji peta Bali, anda akan dapati kedudukannya begitu hampir dengan jurang Hindi-Pasifik yang amat dalam. Struktur geografinya seakan Maldives, iaitu hanya beberapa batu nautika dari pantai, kedalamannya jatuh mendadak dari 10 meter hingga ribuan meter dalam. Jadi kehadiran aji-aji dan aya budak di persisirannya bukanlah luar biasa.

Lubuk berdekatan pantai yang ditemui Pak Adhek memang luas, tetapi habuan yang diperolehi di sini seringkali tidak menentu. Oleh sebab itu, beliau menamakanya Crazy Point. Kalau nasib anda baik, aji-aji atau aya budak cukup aktif menyerang jig, tetapi ada masanya tiada strike langsung biar sampai nak patah tangan mengunjun. Kedatangan kami disambut sederhana oleh penghuni Crazy Point. Dua ekor aji-aji sahaja yang datang menyapa, sebelum kami beranjak Batu Aba yang cukup digilai popping G.T dari Jepun.

Batu Aba

Batu aba terletak di kawasan pulau yang dipanggil Nusa Lembongan. Dalam bahasa tempatan, ‘nusa’ bermaksud ‘pulau kecil’ Batu Aba merupakan terumbu cetek yang berkedalaman lebih kuran 10 meter dan seluas padang bola sepak. Apabila arus mengalir ke kawasan cetek ini, ia bertambah deras dan menghempaskan ombak yang tinggi seperti di Pulau Komodo. Di sekitar pulau-pulau batu ini, G.T cukup suka berkeliaran.

Tetapi spot ini bukanlah ‘panas’ sepanjang masa. Selalunya bila air surut dan berarus deras, barulah Pak Adhek membawa pelanggannya memburu G.T. ke sini. Sewaktu kami tiba, arus kurang laju. Tetapi apabila saya melontar popper Gecko buatan Pak Adhek, seekor G. T terus membahamnya sebaik sahaja saya pop dua kali. Renggutan G.T yang bermastautin di arus deras ini cukup mendebarkan. Popper kami disambar sebanyak dua kali lagi selepas itu. Oleh kerana arus dan tangkapan kurang memuaskann, Pak Adhek meminta kami berhenti popping supaya beliau boleh membawa kami ke sebuah lubuk jigging di salah satu teluk di Pulau Lembongan.

Pertempuran hebat di Blue Corner

Kawasan teluk tersebut yang cukup tenang bukanlah sesuai untuk popping, bahkan kampung serta bot-bot nelayan tradisional jelas kelihatan berlabuh di tepi pantai. Kita tentu beranggapan lubuk sebegini tidaklah semeriah mana. Namun walaupun dekat dengan perkampungan nelayan, tetapi dalam masa dua jam jigging, kami berlima sungguh tidak percaya dengan apa yang berlaku. Inilah lubuk bernama Blue Corner yang sungguh luar biasa!

Saya, Ah Fatt, Phang dan Kuan telah dibelasah teruk oleh gergasi misteri! Jig besi Ah Fatt dan Phang yang baru diturunkan ke dasar melebihi 100 meter ini terus ditelan oleh pemangsa. Sebaik sahaja bail arm kekili Shimano Stella 20000 ditutup, serta merta mereka digasak penentang perkasa yang di luar jangkaan. Pada mulanya kami menyangka mereka berdua direntap ikan ang sama kerana lariannya searah. Namun apabila mangsa Ah Fatt berhenti membenam, tetapi kekili Phang masih nyaring berbunyi, maknanya ada dua gergasi berlainan di bawah sana!

Ah Fatt bergantung kepada kekuatan joran jigging Seven Sea Tunamania untuk bertempur, namun hanya separuh daripada talinya yang masih tinggal dalam gelendung. Bagaimanapun pengepaman seterusnya tiba-tiba mengendurkan tali yang tadinya sangat tegang. Rasanya teramat kecewa terpancar pada riak wajahnya. Jig masih ada, malah mata kail Gamakatsu tetap sempurna, dipercayai tersangkut pada badan mangsa sehingga koyak akibat tekanan tinggi.

Sekarang kami mengharapkan kejayaan Phang. Walaupun gergasi ini tidak lagi memecut dan beliau menggunakan joran Zenaq Fokeeto PE 8, tetapi ikan ini masih tidak mampu dihela ke atas. Kami membantu beliau memakaikannya harness supaya tangan tidak lenguh. Ikan tetap tak kenal erti kalah biarpun tekanan drag setinggi 10 kg. Phang tak dapat bertahan lagi, pinggannya terasa sakit dan terpaksa mencari tempat untuk duduk. Kebetulan ada sebuah peti sejuk Coleman beroda, lantas ia dijadikan ‘fighting chair’.

Kini joran diserahkan ke Pak Adhek. Beliah yang berpengalaman menumbangkan G.T gergasi mengerah segala kepakarannya termasuk teknik undur dan maju, tetapi lagi banyak tali dikarau, lebih banyak yang ditarik keluar! Gergasi itu asyik berpusing-pusing pada satu aras dan enggan timbul. Akhirnya Pak Adhek juga surrender, beliau meminta persetujuan Phang untuk memutuskan tali kerana tak berguna menunggu ikan degil ini naik. Sebaik sahaja Phang mengangguk, Pak Adhek menekup gelundung dan menarik tali sulam Power Pro 65 paun sehingga meletup putus.

Ujian Getir

Tiada siapa yang dapat meneka gerangan apakah species misteri itu. Tak mungkin angkara aya budak 70 kg kerana gergasi tadi tak letih letih langsung walaupun 40 minit bertempur. Barangkali yu agaknya

Selepas itu, seekor lagi gergasi menyapa apabila Kuan menurunkan jignya. Tali mencurah keluar sebaik sahaja beliau menyentap balas. Namun Kuan tak daya berbuat apa-apa sehingga tiba-tiba sahaja tali terputus sendiri. Ujian ini benar-benar adil buat kami semua kerana akhirnya tiba pula giliran saya digasak!

Pada masa itu kami sedang jigging di lubuk 90 meter. Semasa menjatuhkan jig, saya terperasan tali sudah keluar melebihi 100 meter tetapi mengapa Jig Ace 420 gram belum menyentuh dasar? Aneh, adakah ia hanyut ke jurang dalam? Bagaimanapun, putaran gelendung yang laju semacam semakin memusykilkan saya. Agaknya ikan sudah menelan dan melarikan jig tanpa saya sedari. Terus saya kunci kekili, serta merta satu tenaga luar biasa menghenjut Tenryu Grand Marshall PE 6 yang saya pegang.

Kudrat ikan yang menakjubkan telah menyukarkan saya mengawal joran, saya terpaksa bertahan lama sebelum mampu memasukkan pangkal joran ke dalam fighting bel. Saya sedar, kini gergasi sedang mengamuk di bawah dan jig saya pula dipasang dua mata kail (di kepala dan ekor jig), tentu ikan ini sukar melepaskan diri.

Antara Kalah & Menang

Imbas semula semasa saya memancing di Makassar di mana saya pernah ditentang seekor gergasi misteri juga. Sejak itu saya bertindak menggunakan kekili Shimano Ocea Jigger 5000P yang lebih besar muatan talinya kalau ingin jigging ke mana-mana lokasi berpotensi0 Tetapi tanpa diduga, gergasi di Bali lebih hebat dari Makassar!

Bagi menambah kekangan, saya meningkatkan kekunci drag. Namun ikan masih menguasai perlawanan dan saya yang sudah tak dapat bertahan, hanya mampu menyangga joran pada birai bot.

Yang amat menghairankan, makin saya ketatkan tegangan, gergasi ini tetap berenang dengan laju. Saya hanya mampu melihat tali Power Pro 65 paun sepanjang 500 m mencanak keluar begitu sahaja. Dan sekarang cuma tinggal beberapa gulungan tali sebelum mencecah dasar gelendung dan akhirnya meletus!

Fuhh! Dahsyat sungguh gergasi ini! Sebesar manakah ia? Kami semua merasa amat kecewa kerana kecundang tanpa tahu angkara ikan apa. Memanglah harapan setiap pemancing amat besar bila diuji ikan besar, namun tidak ramai yang berfikir balik, adakah kita sendiri termampu menumbangkannya? Tentulah setiap jigger ingin menaikkan ikan pemecah rekod seperti aji-aji, aya budak dan G.T seberat 30-50 kg, namun pemancing biasanya tiada pilihan kerana tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku. Sebab itulah aktiviti ini sukar dipisahkan dengan soal nasib.

Petanda Aneh

Tanggal 26 Disember, Aceh dilanda ombak tsunami secara mengejut. Pada hari malapetaka yang bersejarah tersebut, kami belum sedar ianya akan berlaku dan keluar memancing lebih awal kerana popping awal pagi lebih memberangsangkan. Kami tidak bersarapan percuma di hotel, sebaliknya mengisi perut di restoran Cina berdekatan yang dibuka 24 jam.

Pagi itu, arus cukup deras di Batu Aba. Agus yang memandu bot memposisikan botnya seperti mana berpengalaman kami popping di Komodo. Bot dibiarkan hanyut sambil kami membaling popper ke kedua-dua belah terumbu cetek tersebut. Anehnya G.T tidak mengambil kesempatan ini untuk memburu mangsa mahupun popper. Cuma beberapa sambaran tetapi tak lekat, kelakuannya bukan seperti hendak makan, sebaliknya seakan menghalau penceroboh.

Selepas makan tengahari, kami berpindah ke Blue Corner, lubuk ikan raksasa semalam. Sekali lagi kami hairan, semalam Blue Corner begitu menggerunkan, tatapi hari ini langsung senyap-sunyi. Pak Adhek bertindak membawa kami semula ke Batu Aba memandangkan Blue Corner tidak menjadi seperti semalam.

Menurut pengalaman Pak Adhek, kadangkala G.T memburu tidak mengikut masa. Kalau keadaan berombak pun tiada sambarannya, mungkin ia lebih aktif ketika air tenang. Benar kata beliay, G.T di Batu Aba tak henti-hentinya menyerang popper biarpun ombak dan arus bergerak perlahan. Ah Fatt seorang berjaya menjinakkan dua ekor G.T.

Tsunami Tanpa Disedari

Pak Adhek mengajak kami mencuba di Crazy oint setelah G.T Batu Aba menghilang. Untuk ke sana, kami perlu melepasi Selat Badung di Lautan Hindi-Pasifik. Entah macam mana, timbul gelombang besar setinggi 2 meter di perairan selat ini. Bot kecil kami terhoyong-hayang membelahnya dan terpaksa bergerak perlahan, sampai kami semua terasa pening-pening lalat. Pada mulanya kami tak berasa hairan kerana ombak sebegini memang lumrah di perairan ini. Salah satu sebab pelancong suka datang ke Bali adalah kerana ingin bermain papan luncur.

Sebaik kami ke Crazy Point, permukaan laut kembali tenang dan lubuk Crazy Point turut ‘bengong’ kerana seekor ikanpun tidak mahu menyambut kami sampailah ke senja. Bila kami pulang ke hotel dan menonton TV, barulah kami tahu Banda Aceheh yang berada di Utara Sumatera ranap diamuk ‘ombak jahat’ tsunami sehingga meragut puluhan ribu nyawa. Walaupun lokasi kami amat jauh dari Aceheh tetapi bencana ini berlaku di lautan yang sama. Kami bernasib baik kerana tragedi berjaya dielakkan.

Kami teringat semula kejadian di Blue Corner. Pak Adhek ada menyatakan rasa peliknya kerana sepanjang berpengalamannya, lubuk ini tak pernah disapa ikan gergasi. Tetapi berdasarkan cerita dari pemancing Jepun (Jepun merupakan negara yang sering dilanda gampa bumi), lubuk yang kurang ikan boleh melimpah-ruahkan banyak ikan dengan cukup luar biasa setiap kali sebelum gempa berlaku. Adakah fenomena ini berasas untuk dikaitkan dengan peristiwa aneh di Blue Corner?

Begitu jua dengan keajaiban semasa kami merentas Selat Badung yang tiba-tiba memunculkan gelombang besar. Mungkin gelombang itu datang begitu jauh dari Aceheh yang menggegarkan gempa bumi sekuat 8.9 Richter. Walau apa pun yang berlaku, bencana alam memang sukar kita ramalkan, begitulah hakikatnya jua dengan hasil pancinan kita. – SIRIP –